Wednesday, March 14, 2012

Fenomena Spiritual: Energi MARAH Membuahkan BAHAGIA

Assalamua'laikum :)

selamat petang seluruh penduduk dunia...! 
harapannya anda semua dalam keadaan yang sihat sejahtera dan dirahmati Allah hendaknya :)

apa yang nak dikongsi pada hari Rabu yang awesome ni? 
oh, ya..Alhamdulillah, hari ni selesai pembacaan risalah 

Odyssey Segumpal Hati-Ya Allah...Akalku Terhad Ilmuku Dangkal 

yang aku kira menarik untuk sama kita hayatinya.
jom sama-sama tengok! :)




Saya suka menjahit sendiri pakaian dan kadang-kadang menjelang raya saya mengambil peluang juga menambah pendapatan. Pesanan ibu, kalau jadi perempuan, perlu pandai kerja-kerja perempuan terutama menjahit dan memasak (*kelemahan aku sesungguhnya). Besar sungguh pengaruh ibu dalam kehidupan manusia. Saya ingin berkongsi kisah yang ada kena mengena dengan tajuk menjahit. Ringkas sahaja ceritanya, tajuk yang 'tidak ada apa' tetapi kali ini sangat bermakna dan besar nilanya bagi saya kerana ia bukan sahaja menjadi pengalaman biasa-biasa, tetapi menyentuh aspek emosi dan spiritual. Semuanya bermula dengan perasaan MARAH!


Saya selesa dan suka berurusan dengan sebuah kedai jahit menjual alat jahitan berhampiran pejabat dan rumah saya kerana pekerjanya ramah, suka tersenyum dan membantu pelanggan dengan bersungguh-sungguh. Kali ini saya menghantar tujuh pasang baju kurung untuk dijahit tepi dan saya meminta mereka pilihkan benang, butang dan lis yang sesuai dengan warna dan corak kain-kain tersebut.
   
   "Petang ni saya ambil...", kata saya.
   "Okey...", jawabnya dengan ramah.


Petangnya saya datang dan semuanya tersedia dengan warna yang sepadan dengan corak kain yang saya hantar. Saya sungguh gembira dan berpuas hati kerana saya dapat menjimatkan masa. Saya tahu banyak masa yang akan diperlukan untuk memilih benang, butang dan lis yang sesuai untuk tujuh corak dan warna kain yang berbeza. Kain-kain itu juga diikat kemas, digulung semula dan diikat dengan getah untuk saya bawa balik. Selepas siap menjahit dua pasang, saya mula menjahit baju kurung yang ketiga. Di sinilah darah saya menyirap naik apabila mendapati bahagian bucu bahagian badan telah terpotong semasa dijahit tepinya. Akibatnya, saya terpaksa memotong sebahagian kain tersebut supaya lurus dan boleh menjadi sepasang baju kurung yang 'stabil' kiri dan kanan! Maknanya, baju ini akna lebih kecil dan badan saya yang bersaiz 'gajah' tidak akan muat. Menambahkan lagi kemarahan saya, kain itu adalah antara yang paling saya suka warna dan coraknya. Soalnya...pekerja kedai itu langsung tidak memberitahu saya mengenai kesilapan tersebut!


Apabila marah, tindak balas pertama yang saya ingin lakukan ialah pergi ke kedai dan tersebut dan memarahi pekerjanya. Minta ganti rugi! Bertanya kenapa tidak memberitahu yang kain itu dah tersilap potong masa jahit tepi. Bermacam-macam ayat-ayat kemarahan muncul dalam kelapa yang ingin saya lontarkan kepada pekerja kedai tersebut. Dada terasa panas dek kemarahan.Rasanya masa itu juga hendak bergegas keluar meluru ke kedai jahit tadi. Tiba-tiba ada satu suara dari dalam hati yang menempelak emosi marah. Atau mungkin dari fikiran rasional. Dialog antara marah dan suara hati yang menasihati bergema di minda

Suara hati: Apa yang engkau akan dapat kalau buat semua tu?

Emosi: Puas hati lah! Lepas perasaan...

Suara hati: Kalau dah puas hati dan lepas perasaan..lepas tu apa?
                 Istighfarlah dulu...

Emosi: Hmmmm....


Terngiang ilmu yang dipelajari dalam kursus latihan ESQ Way 165. Ya! Ilmu yang belum tentu saya dapat hayati jika tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. 


Emosi itu adalah radar fitrah. Apa pun emosi yang sedang melanda, fitrah sedang cuba menyampaikan sesuatu. Ini antara ilmu yang saya dapat daripada latihan ESQ. Saya sedang dikuasai perasaan marah--ini emosi yang sedang menguasai. 


"Astaghfirullah.....", saya memaksa diri mengamalkan iktibar daripada latihan ESQ. Emosi masih marah! Syukur kepada Allah S.W.T, Dia memberikan saya kekuatan untuk bertenang dan duduk menyandar pada kerusi. Dialog dalaman antara emosi dan suara hati terus berlangsung dalam diri saya. Terasa 'bingit' walaupun berseorangan. 

Suara hati: Berapa pasang yang kau hantar?

Emosi: Tujuh!

Suara hati: Berapa pasang yang rosak?

Emosi:(diam tetapi akal rasional cuba bersuara)

Akal: Sepasang!

Suara hati: Bukankah mereka dah membantu? Pilihkan tujuh warna benang, tujuh lis dan 
                 butang ikut kesesuaian?

Emosi mulai reda...

Akal: Ya...

Suara hati: Siapa yang aturkan satu kesilapan dan semua bantuan dan khidmat mereka?

Emosi tumbang! Rasa sayu menular seperti air ke dalam hati saya ketika itu.

Akal: ALLAH S.W.T...

Suara hati: Betul! Kalau begitu, pada pendapat mu, mengapa Allah takdirkan begitu?

Emosi: Entah!

Suara hati: Engkau siapa? Allah itu siapa dalam hidupmu?


Akal menjawab persoalan 'apa yang saya fikir'; emosi berkisar kepada 'apa yang saya rasa'; suara hati mencari jawapan kepada persoalan fitrah 'siapa diriku sebenarnya'. IQ adalah akal, EQ adalah emosi dan SQ adalah persoalan spiritual. Pengalaman daripada latihan ESQ Way 165 mendatangi diri saya. Saya terduduk. Akal berkata, takkan hanya sekadar sehelai kain, saya perlu menyeksa diri dengan sebuah kemarahan yang mana dengan kemarahan itu nanti hubungan baik saya dengan pekerja kedai jahit itu tidak lagi semesra dulu. Saya merasa emosi marah saya cair menjadi belas kasihan. Benarlah! Emosi bila ditangani dengan akal dan spiritual .. ia akn mudah beralih arah. Transformasi marah kepada kasihan akan berlaku. 


"Apa agaknya yang Allah cuba sampaikan kepadamu daripada pelaksanaan takdir ini?",sergah suara dari hati . Baju ini akan siap. Ia akan tetap cantik tetapi mungkin ia tidak ditakdirkan untuk menjadi penutup jasadmu. Enam pasang baju kurung yang lain sudah kau miliki. Milik siapakah sebenarnya baju yang sepasnag ini dalam perencanaan Allah S.W.T? Akal saya mencari wajah-wajah orang yang dikenali. Tiba-tiba teringat, sahabat baik saya pernah mengatakan, "Cantiknya kain ini........", semasa melihat kain tersebut. Sahabat yang sama juga pernah mengatakan, "Senang ya kalau pandai menjahit. Boleh buat baju sendiri". Bukan kebetulan kami diciptakan dengan perbezaan saiz yang sedikit. Beza saiznya hanya sekadar ukuran kain yang tersilap potong. 


Saya mengambil keputusan , "Ya Allah. Baju ini milik sahabatku yang ini...", lalu saya menjahitnya dengan membayangkan cantiknya ia dipakai oleh orang yang Allah takdirkan menjadi pemiliknya. Terima kasih Ya Allah kerana meniupkan Al- 'Afuw kepada hamba yang lemah ini sehingga boleh memberi kemaafan kepada hamba-hambaMu di kedai alat jahitan. Terima kasih Ya Allah kerana meniupkan Ar-Rahman dan Ar-Rahim Mu sehingga dengan kekuatan kasih sayang hamba ini mahu memberi apa yang disayangi kepada hamba-Mu yang lain. Sesungguhnya, Engkaulah Al-Malik...Pemilik Hakiki Seluruh Alam.


Saya sesungguhnya tidak menyangka keputusan ini dapat membuahkan kebahagiaan! Sahabat saya gembira sekali menerima hadiah sepasang baju kurung hitam berbunga ungu tetapi yang lebih bahagia ialah saya sendiri. Dengan memberi hanya sepasang kain yang tidak semahal mana, saya mendapat nilai yang agung--sebuah pengalaman yang membuktikan bahawa Allah S.W.T sentiasa 'dekat' dan setiap takdirnya pasti akan membuahkan kebahagiaan. Rupanya inilah kebahagiaan yang dibuahi daripada satu perjalanan spiritual mengendalikan emosi dan akal. Saya ingin merasakan kebahagiaan ini sepanjang hidup saya dalam setiap perkara yang 'kecil' atau yang 'besar'. 

Inilah kisah sebuah emosi yang akhirnya membuahkan kebahagiaan.....

-Sofiyah Satuyah Rasin


Alhamdulillah...bagaimana semuanya? terkesan atau tidak dengan cerita di atas? Walau hanya sekadar cerita yang ringkas namun tetap memberikan pengajaran yang berguna buat semua. Baiklah, aku sendiri pun masih lagi merangkak dalam maksud lain membina diri aku ke jalan yang lebih baik.sesungguhnya aku berusaha, namun dalam masa yang sama,ranjau yang mendatang tetap ada.walaupun susah, ini semua cabaran buat aku.aku hanya memerlukan Allah S.W.T dalam setiap detik masa untuk menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. InsyaAllah, perkara itu bukan mudah,bak kata pepatah, "bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian" 



 



Sejujurnya, dahulu aku bukanlah seperti mana yang berdiri kini. terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup aku sehinggakan bibir aku pernah mengutuskan kata putus asa. Dalam masa yang sama, aku masih meneruskan kehidupan. Bukankah itu maksudnya Allah masih sayangkan aku? Lalu dia memberi peluang untuk aku bermula semula dengan membina secara perlahan.aku ini lemah dan hina sekali di sisi Mu Ya Allah..izinkan aku untuk kembali semula kepadamu.


Aku memerlukan rakan-rakan seperjuangan untuk menyokongku dari segenap segi. benar, keluarga adalah kekuatan, namun sahabat adalah keyakinan. Aku tidak pernah melupakan setiap jasa kalian hatta sekecil hama sekalipun. Bagaimana sahabat aku sanggup menjaga dan menungguku ketika sakitku dan sentiasa sabar dengan tingkahku. Ya Allah, rahmatilah mereka dan kurniakanlah mereka kesihatan dan kehidupan yang baik. Aku bukanlah hambaMu yang terbaik, maka bantulah hambaMu ini Ya Allah...


*maafkanku atas segala kesilapanku, aku rindukan kalian seperti mana kita bersama dahulu*



salam sayang,
Aisyah Nabilah Alias :)